Iklan KOANSAR - UPAH HAJI 2014

Iklan KOANSAR - UPAH HAJI 2014

Rayuan INFAQ untuk PUSAT PENGAJIAN AL-HUFFAZ DARUL ANSAR

Rayuan INFAQ untuk PUSAT PENGAJIAN AL-HUFFAZ DARUL ANSAR

Sahabat

Tuesday, August 31, 2010

MENINGGALKAN PUASA RAMADHAN - Sambungan

Tajuk 4

Hari berganti minggu dan minggu pula berganti bulan. Walaupun rasanya Ramadhan baru saja berlalu, tetapi masa beredar begitu cepat. Kini Ramadhan, bulan yang sangat tinggi darjat dan besar martabatnya di sisi Allah Subhanahu wata’ala dan RasulNya, dan juga menjadi penghulu segala bulan itu sudah menghampiri kita.

Dalam hal ini apakah puasa yang ditinggalkan disebabkan keuzuran seperti sakit, musafir, haidh, nifas dan hamil atau berbuka tanpa keuzuran sudah diqadha? Apa pula akibat kalau melambatkan qadha sehingga masuk Ramadhan yang baru? Macamana pula dengan fidyah?

Qadha Puasa

Qadha adalah berasal daripada perkataan Arab. Dari segi istilah ulama, qadha dalam ibadat itu bererti melaksanakan sesuatu ibadat yang telah keluar daripada waktunya yang ditentukan oleh syara‘. (Al-Qâmûs al-Fiqhi: 305)

Setiap orang mukallaf yang meninggalkan puasa Ramadhan sama ada disebabkan keuzuran seperti sakit, musafir, haid, nifas atau hamil atau berbuka tanpa keuzuran adalah diwajibkan untuk mengadha puasa yang ditinggalkannya itu. Firman Allah Subhanahu wata’ala:

Tafsirnya: “Dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir, maka (bolehlah dia berbuka kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain.”(Surah al-Baqarah: 185)

Qadha Bagi Orang Berbuka Disebabkan Keuzuran

Adapun puasa yang ditinggalkan disebabkan keuzuran tidaklah wajib diqadha dengan segera. Walau bagaimanapun mengqadhanya dengan segera adalah lebih baik dan hukumnya adalah sunat (mustahabb) untuk tujuan berjaga-jaga (ihthiyât). Begitu juga, tidak diwajibkan mengadha puasanya itu dengan berturut-turut, bahkan hanya sunat sahaja. Oleh itu adalah harus melakukan qadha dengan berselang-seli harinya.

Melambatkan qadha puasa disebabkan keuzuran itu adalah diharuskan sebagaimana disebutkan dalam sebuah riwayat Yahya daripada Abu Salamah, bermaksud: “Saya telah mendengar ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata: “Dahulu saya ada qadha puasa bulan Ramadhan, namun saya tidak upaya untuk mengqadhanya melainkan di bulan Sya‘ban.” Yahya berkata: “Disebabkan ada kesibukan yang datangnya daripada Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam atau dengan Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam (kerana khuatir Baginda akan memerlukannya pada bila-bila masa)”.(Hadis riwayat al-Bukhari)

Hadis ini menunjukkan bahawa orang yang berbuka puasa disebabkan keuzuran, harus melambatkan qadha puasa Ramadhan sehingga datangnya bulan Sya‘ban iaitu sebelum datangnya Ramadhan yang baru. Ini kerana Siti ‘Aisyah mengadha puasanya pada bulan Sya‘ban tersebut bersama-sama Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam yang mana Baginda banyak mengerjakan puasa sunat di bulan Sya’ban itu.

Perlulah diingat bahawa keharusan melambatkan qadha puasa itu tidaklah sampai datangnya bulan Ramadhan yang baru, kerana berdosa bagi orang yang melengah-lengahkan qadha puasa Ramadhan sehingga masuk ke bulan Ramadhan yang baru tanpa keuzuran yang menyebabkan dia tidak dapat mengqadhanya. Keuzuran yang dimaksudkan di sini ialah seperti sakit yang berpanjangan.

Manakala waktu mengqadha puasa itu, menurut Imam an-Nawawi adalah harus mengqadha puasa Ramadhan sepanjang tahun melainkan bulan Ramadhan, Hari Raya dan Hari Tasyrik. Tidaklah menjadi makruh mengqadha puasa pada selain waktu-waktu yang tidak diharuskan itu sama ada mengqadhanya pada bulan Zulhijjah atau selainnya. (Majmû‘: 6/413)
Qadha Bagi Orang Yang Berbuka Puasa Dengan Sengaja

Orang yang berbuka puasa dengan sengaja tanpa keuzuran adalah diwajibkan mengqadha puasanya itu dengan segera kerana sesiapa yang berbuka puasa dengan sengaja adalah fâsiq, oleh itu diwajibkan ke atasnya bertaubat dengan segera untuk melepaskan dirinya daripada kefâsiqan itu. Tidaklah sah taubatnya itu melainkan dia mengqadha kesemua puasa yang ditinggalkannya. Jika dia melengah-lengahkan qadha puasa itu tanpa keuzuran, nescaya dia berterusan dalam kefâsiqan. Berterusan dalam kefâsiqan itu adalah suatu dosa.

Jelasnya bahawa orang yang berbuka puasa dengan sengaja dan melengahkan qadha puasanya itu tanpa keuzuran sehingga sampai bulan Ramadhan yang baru adalah berdosa dan fâsiq. Begitulah juga setiap perkara yang wajib seperti sembahyang, jika ditinggalkan dengan sengaja dan dilengah-lengahkan pada mengqadhanya adalah perbuatan dosa dan fisq. (Az-Zawâjir: 1/324)

Kewajipan Bagi Orang Yang Melambatkan Qadha Sehingga Masuk Ramadhan Baru

Sebagaimana penjelasan yang disebutkan tadi, adalah berdosa bagi orang yang tiada keuzuran melengah-lengahkan qadha puasanya sehingga masuk Ramadhan yang baru.

Menurut Imam an-Nawawi, apabila seseorang yang tidak mempunyai keuzuran melengah-lengahkan qadha puasanya sehingga masuk bulan Ramadhan yang baru, hendaklah orang tersebut mengerjakan puasa bagi bulan Ramadhan yang baru terlebih dahulu kemudian baharulah dia mengqadha puasa yang ditinggalkannya sebelum ini dan membayar fidyah bagi setiap hari yang ditinggalkan. Dalam âtsâr sahabat daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma berkata bermaksud: “Barang siapa yang melengahkan qadha puasa Ramadhan sehingga didapatinya Ramadhan yang lain maka hendaklah dia berpuasa Ramadhan di bulan tersebut, kemudian barulah dia mengqadha puasa yang ditinggalkannya dahulu itu dan memberi makan pada setiap hari seorang miskin (fidyah)”. (Hadis riwayat ad-Daraquthni)

Jenis fidyah itu ialah sama seperti jenis zakat fitrah iaitu makanan asasi dan yang mengenyangkan bagi sesebuah negeri. Orang yang berhak menerima fidyah itu pula ialah orang fakir dan miskin sahaja. Fidyah itu boleh diberi lebih daripada satu cupak kepada seorang miskin, berlainan dengan membayar kaffârah. Ini bererti tidak boleh memberi dua cupak untuk seorang miskin bagi membayar kaffârah, bahkan hendaklah diberi satu cupak sahaja kepada setiap seorang miskin hingga enam puluh orang.

Adapun jika seseorang yang lewat mengqadha puasanya sehingga datang Ramadhan yang baru disebabkan keuzuran, seperti dia masih dalam pelayaran, sakit atau lain-lain keuzuran syar‘ie, adalah dituntut mengqadha puasa tanpa membayar fidyah. (Majmû‘: 6/412-413)

Bila Fidyah Itu Berganda?

Apabila seseorang melengah-lengahkan qadha puasa tanpa ada keuzuran sehingga datang Ramadhan yang kedua adalah diwajibkan ke atasnya mengqadha puasa tersebut beserta membayar fidyah. Jika dia tidak mengqadhanya juga sehingga datang lagi Ramadhan yang ketiga, maka diwajibkan ke atasnya membayar fidyah dua kali ganda bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan. Ini bererti dia wajib mengqadha satu hari puasa berserta fidyah dua cupak beras. Fidyah itu akan terus berganda dari tahun ke tahun selagi dia belum habis menyempurnakan qadha puasanya. Akan tetapi qadha puasanya itu tidaklah berganda sebagaimana fidyah.

Untuk lebih jelas di sini kita bawakan dua contoh:

Contoh I

Seorang telah meninggalkan puasanya pada tahun 1419H sebanyak 8 hari. Puasa yang ditinggalkannya itu tidak diqadhanya sehingga masuk Ramadhan 1422H (selama tiga tahun).

Maka cara mengiranya ialah dengan masuknya Ramadhan 1420H, dia wajib membayar fidyah kerana tidak mengqadha puasanya itu.

Fidyahnya berganda ketika masuk Ramadhan 1422H kerana dia telah melengah-lengahkan qadha puasanya.

Fidyah yang wajib dibayarnya sebanyak 24 mudd (8 x 3 tahun) hasil daripada gandaan fidyahnya yang bermula dari tahun 1420H, 1421H dan 1422H. Banyak fidyah yang wajib dikeluarkan dalam kiraan kilogram ialah 13.604kg (24 mudd x 566.85 gram).

Contoh II

Seorang itu meninggalkan puasa sebanyak 8 hari pada tahun 1400H, 7 hari pada tahun 1401H dan 6 hari pada tahun 1402H. Kesemua puasa ini belum diqadha sehingga masuk Ramadhan 1403H.

Maka cara mengiranya ialah, dengan masuknya Ramadhan 1401H, dia wajib mengqadha sebanyak 8 hari serta wajib mengeluarkan fidyah kerana belum menunaikan qadha puasa pada tahun 1400H sebanyak 8 mudd (8 mudd x 566.85 gram = 4.534 kg beras).

Jika puasa tersebut tidak juga diqadha sehingga masuk Ramadhan 1402H, maka qadha puasanya bertambah menjadi 15 hari (8 hari pada tahun 1400H dan 7 hari pada tahun 1401H). Fidyahnya juga bertambah iaitu 16 mudd bagi puasa tahun 1400H kerana telah sampai tempoh dua kali Ramadhan yang baru iaitu 1401H dan 1402H. Kemudian ditambah dengan fidyah yang baru iaitu 7 mudd kerana belum mengqadha 7 hari puasa yang ditinggalkan pada 1401H. Maka jumlah fidyah yang perlu dibayar pada tahun 1402H ialah 23 mudd (23 mudd x 566.85 gram = 13.037 kg beras).

Jika masuk Ramadhan 1403H dan puasa qadhanya belum juga ditunaikan bahkan bertambah lagi 6 hari pada 1402H, maka dia wajib qadha sebanyak 21 hari. Manakala fidyahnya menjadi 24 mudd bagi 8 hari puasa 1400H kerana sudah melalui 3 kali Ramadhan (1401,1402 dan1403H), 14 mudd bagi 7 hari puasa 1401H dan 6 mudd bagi 6 hari puasa 1402H. Jumlah keseluruhan fidyah yang wajib dibayar ialah 44 mudd (44 mudd x 566.85 gram = 24.941 kg beras).

Meninggal Dunia Sebelum Menyempurnakan Qadha Puasa

Seseorang yang berbuka puasa disebabkan keuzuran lalu berterusan keuzurannya itu sehinggakan tidak mampu mengqadhanya seperti masih dalam keadaan sakit ketika dia meninggal dunia, maka tidaklah diwajibkan ke atasnya qadha atau fidyah. Ini kerana hukum wajib itu tidak lagi tertanggung ke atasnya sebagaimana dalam kewajipan fardhu haji.

Manakala dalam hal dia mampu untuk mengadhanya sama ada qadhanya itu disebabkan uzur ataupun tidak, namun dia tidak mengqadhanya sehingga meninggal dunia, dalam keadaan ini terdapat dua qaul:

i. Menurut qaul jadîd, diwajibkan membayar fidyah daripada hartanya bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan dengan satu cupak makanan dan tidak sah bagi wali si mati itu berpuasa untuknya.

Dalam hal ini, jika seseorang meninggal dunia sebelum datang Ramadhan yang baru, maka diwajibkan bagi setiap hari qadha puasa itu satu cupak makanan. Akan tetapi jika dia meninggal dunia selepas masuknya Ramadhan yang baru, maka menurut pendapat yang ashah adalah diwajibkan dua cupak makanan; satu cupak bagi puasa yang ditinggalkan dan satu cupak lagi kerana melambatkan qadhanya. (Majmû‘: 6/419)

ii. Manakala menurut qaul qadîm dan dipilih oleh Imam an-Nawawi, harus bagi wali si mati itu berpuasa untuknya jika dia mahu. Ini bererti bukanlah menjadi kewajipan kepada wali itu untuk berpuasa bagi si mati bahkan tertakluk kepadanya untuk memilih sama ada puasa atau pun fidyah. Jika wali itu berpuasa untuk si mati adalah sah dan tidak perlu lagi dia membayar fidyah untuk si mati kerana dengan puasanya itu juga boleh melepaskan beban si mati. (Majmû‘: 6/414-415)

Wali yang dimaksudkan di sini ialah semua kaum kerabat si mati sekalipun bukan ahli ‘ashâbah dan bukan juga ahli waris atau bukan wali yang bertanggungjawab ke atas harta si mati menurut pendapat yang mu‘tamad. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/244)

Dalil bagi mereka yang mengharuskan wali si mati itu mengqadhakan puasa si mati adalah berdasarkan beberapa hadis shahîh di antaranya, sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Barang siapa yang meninggal dunia dan atasnya kewajipan puasa, maka walinya berpuasa untuknya.”(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam sebuah hadis daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma berkata maksudnya: “Telah datang seorang lelaki kepada Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam lalu berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia dan baginya kewajipan puasa satu bulan, adakah saya perlu mengqadhakannya bagi pihaknya?”

Baginda bersabda: “Sekiranya ibumu mempunyai hutang, adakah engkau membayarkannya bagi pihaknya?”

Lelaki itu menjawab: “Ya”.

Baginda bersabda: “Maka hutang terhadap Allah itu lebih berhak untuk diqadha.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Oleh yang demikian janganlah dilengah-lengahkan qadha puasa sehingga datangnya Ramadhan yang baru ataupun langsung tidak menghiraukannya sehingga berlalunya Ramadhan dari setahun ke setahun. Ini bukan sahaja boleh menyebabkan bergandanya fidyah yang wajib dibayar bahkan juga mendapat dosa besar ke atas pelakunya.

Dipetik daripada buku Irsyad Hukum tahun 2001.

No comments:

Post a Comment

فُوْسَتْ فغَاجِيَنْ اَلْحُفَّاظ دَارُ الأَنْصَار

فُوْسَتْ فغَاجِيَنْ اَلْحُفَّاظ دَارُ الأَنْصَار
Sebuah induk institusi pengajian Islam (kanak-kanak, remaja, dewasa & warga emas) akan dibangunkan oleh Persatuan Pengubatan Islam Darul Ansar Kebangsaan (PERDANA) di Kg. Solok Binjai, Pengkalan Balak, Masjid Tanah, Melaka yang bernilai RM 700,000 di atas tanah persendirian yang dimiliki oleh Al Fadhil Ustaz Hj. Abdul Halim bin Hj. Maidin seorang guru agama juga merupakan Pengerusi Koperasi Perubatan Islam Darul Ansar Berhad (KOANSAR) yang dibesarkan di Pengkalan Balak. Pihak kami mengalu-alukan sumbangan, zakat, sedekah jariah, waqaf tanah 1x1 kaki persegi bernilai RM 100 dan sebagainya untuk pembangunan dana akhirat ini. Segala sumbangan tuan & puan boleh dimasukkan kedalam akaun CIMB Islamic: 0404-0000135-10-8 atas nama PUSAT PENGAJIAN AL HUFFAZ DARUL ANSAR. Projek pembangunan tersebut akan bermula Disember 2011 dan dijangka siap pada hujung tahun 2012 serta pengambilan pelajar akan bermula pada 2013. Bagi penama sumbangan waqaf layak menerima Sijil Waqaf yang dikeluarkan oleh Darul Ansar. Sabda Baginda Rasulullah SAW yang bermakud: "Apabila matinya manusia, maka terputuslah segala-galanya kecuali TIGA perkara iaitu: Sedekah Jariah (yang tidak putus pahalanya) atau ilmu yang bermanfaat atau anak soleh yang mendoakan ibu bapanya." - Hadith riwayat Imam Al Bukhari

Contoh Sijil Waqaf PUSAT PENGAJIAN AL HUFFAZ DARUL ANSAR

Contoh Sijil Waqaf PUSAT PENGAJIAN AL HUFFAZ DARUL ANSAR

Bagi setiap penyumbang waqaf bernilai RM 100 dan ke atas layak untuk menerima Sijil Waqaf. Cara untuk mendapat Sijil Waqaf tersebut ada 3 cara iaitu: (1) Boleh membelinya di Pejabat Urusan Darul Ansar Pulau Gadong. (2) Boleh membelinya daripada wakil sah yang dilantik oleh Darul Ansar. (3) Melalui akaun PUSAT PENGAJIAN AL HUFFAZ DARUL ANSAR dan kemudian akan diposkan kepada penyumbang. Semoga diberkati Allah SWT.

Blogger Darul Ansar Dan Sahabat

BANGUNAN DARUL ANSAR

BANGUNAN DARUL ANSAR
Bangunan ini dimiliki oleh Persatuan Pengubatan Islam Darul Ansar Kebangsaan (PERDANA) dan Darul Ansar memiliki beberapa aset penting dan beberapa buah anak syarikat yang berfungsi untuk menjana ekonomi ahli, kebajikan, pendidikan dan sebagainya. Antara langkah terawal pihak Darul Ansar telah menubuhkan sebuah syarikat perniagaan pertamanya iaitu Darul Ansar Trading And Marketing, Pusat Rawatan Darul Ansar & Ruqyah Darul Ansar Centre yang telah didaftarkan dibawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Koperasi Perubatan Islam Darul Ansar Melaka Berhad (KOANSAR), berdaftar dibawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Akademi Rawatan Islam Darul Ansar (AKRAWI DARUL ANSAR), Pusat Rawatan Islam Darul Ansar (PURAWI DARUL ANSAR), & Pusat Pengajian Al Huffaz Darul Ansar

SURUHANJAYA KOPERASI MALAYSIA (SKIM)

SURUHANJAYA KOPERASI MALAYSIA (SKIM)
Koperasi Perubatan Islam Darul Ansar Berhad (KOANSAR) telah didaftarkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dibawah pendaaftaran: M4-0261

ANGKASA

ANGKASA
Koperasi Perubatan Islam Darul Ansar Melaka Berhad (KOANSAR) berdaftar dibawah Angkatan Koperasi Kebangsaan Berhad (ANGKASA) bernombor keahlian: 4857/MA0204

PERSATUAN PENGUBATAN ISLAM DARUL ANSAR KEBANGSAAN

PERSATUAN PENGUBATAN ISLAM DARUL ANSAR KEBANGSAAN

PUSAT PENGAJIAN AL-HUFFAZ DARUL ANSAR

PUSAT PENGAJIAN AL-HUFFAZ DARUL ANSAR

Koperasi Perubatan Islam Darul Ansar Berhad (KOANSAR)

Koperasi Perubatan Islam Darul Ansar Berhad (KOANSAR)

AKADEMI RAWATAN ISLAM DARUL ANSAR

AKADEMI RAWATAN ISLAM DARUL ANSAR

PUSAT RAWATAN ISLAM DARUL ANSAR

PUSAT RAWATAN ISLAM DARUL ANSAR